ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI

ZOO TAIPING

Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah merupakan satu-satunya zoo yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Zoo Taiping telah dibuka pada tahun 1961 dan ia terletak di kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping, berhampiran kaki Bukit Larut dengan keluasan seluas 36 ekar (14 hektar). Pengunjung akan merasai pengalaman yang unik sewaktu menyusuri laluan sejauh 2.5km di dua lingkaran iaitu Lingkaran Barat dan Lingkaran Timur dengan berlatarkan pameran berkonsep terbuka dalam suasana semulajadi. Zoo Taiping telah memulakan pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan menggunakan konsep terbuka dengan mengutamakan habitat asal haiwan yang dipamerkan. Zoo Taiping mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia terletak di kawasan alam semula jadi yang mempunyai ciri ciri fizikal seperti aliran anak sungai, tasik dan kehijauan flora. Sehingga kini, Zoo Taiping menempatkan kira-kira 1500 haiwan dari 140 spesis mamalia, burung, reptilia dan ikan. Antaranya ialah harimau, singa, badak sumbu, badak air, zirafah, orang utan dan banyak lagi. Pameran di Pengalaman Hutan Hujan Malaysia, Hutan Tanah Pamah, Hutan Tebing Sungai, Savana Afrika, dan pameran Gajah Sungai Perak adalah di antara pameran yang direkabentuk menyerupai habitat asal haiwan dan mampu menjadi pusat konservasi bagi menambah populasi haiwan terutama spesies yang terancam. Di samping itu, keindahan alam semulajadi dan panorama yang cukup memakau di sekitar Zoo Taiping dapat menarik ramai pengunjung dari luar dan dalam negara untuk datang ke sini. Malah, setiap tahun acara tahunan seperti Zoorama dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk merasai pelbagai aktiviti yang menarik. Zoo Taiping & Night Safari pernah memenangi Anugerah Pelancongan Malaysia dalam Kategori Tarikan Pelancongan Terbaik Buatan Manusia dan juga diiktiraf sebagai Night Safari Pertama di Malaysia oleh “Malaysia Book Of Records”.

NIGHT SAFARI TAIPING PERAK MALAYSIA

Night Safari merupakan satu tarikan dan yang pertama diadakan di Malaysia. Night Safari telah dibuka pada tahun 2003 dan merupakan satu produk yang unik kerana ia mempamerkan haiwan-haiwan liar yang aktif pada waktu malam. Haiwan-haiwan ini dipamerkan dalam suasana alam semulajadi dan habitat asal haiwan liar seperti di dalam hutan dengan menggunakan lampu-lampu khas yang seakan-akan cahaya bulan. Pengunjung juga dapat menghayati suasana seperti di dalam hutan di mana pelbagai jenis bunyi haiwan dapat didengari seperti burung pungguk, musang, kijang, harimau bintang dan sebagainya.